|
|||||
|
| utama | profil | produk | makalah | tinta emas | buletin | galeri | arkib | debat maya | alumni debat uiam | |
|||||
|
DERAF PERLEMBAGAAN PERSATUAN ALUMNI DEBAT UNIVERSITI MALAYSIA KANDUNGAN FASAL 1: NAMA FASAL 2: TEMPAT URUSAN FASAL 3: MATLAMAT DAN OBJEKTIF FASAL 4: KEAHLIAN FASAL 5: PROSEDUR KEAHLIAN FASAL 6: YURAN FASAL 7: HAK KEAHLIAN FASAL 8: PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI FASAL 9: MESYUARAT AGUNG FASAL I0: PENGURUSAN FASAL 11: TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA FASAL 12: KEWANGAN FASAL 13: JURUAUDIT FASAL 14: PENTADBIR HARTA FASAL 15: TAFSIRAN UNDANG-UNDANG FASAL 16: PINDAAN FASAL 17: PENASIHAT/PENAUNG FASAL 18: LARANGAN FASAL 19: PEMBUBARAN
PERSATUAN ALUMNI DEBAT UNIVERSITI MALAYSIA FASAL 1: NAMA Persatuan ini dikenali dengan nama " PERSATUAN ALUMNI DEBAT UNIVERSITI MALAYSIA " (kemudian dari ini dirujuk sebagai "Persatuan"). Persatuan akan menggunakan nama singkatan “ADAM”, dan singkatan tersebut adalah dianggap sebagai nama yang sah bagi mewakili Persatuan. FASAL 2: TEMPAT URUSAN Alamat tempat urusan Persatuan ialah:- d/a TETUAN WAN ROHIMI & ASMADI PEGUAMBELA & PEGUAMCARA 6-3-1, BLOK D, JALAN 4/50 DIAMOND SQUARE, OFF JALAN GOMBAK 53300 KUALA LUMPUR atau mana-mana tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari semasa ke semasa. Tempat urusan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu. FASAL 3: MATLAMAT DAN OBJEKTIF Matlamat dan objektif-objektif Persatuan adalah meliputi:- [1] Menjadi sayap utama kepada MAJLIS DEBAT UNIVERSITI MALAYSIA (“MADUM”) bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti berkaitan debat [2] Menjadi landasan kesatuan bekas-bekas pendebat universiti-universiti Malaysia [3] Menumpukan gerak kerja pembangunan dan pemantapan kualiti pendebat masa kini [4] Menumpukan gerak kerja pembangunan dan pemantapan kualiti kehakiman debat masa kini [5] Memfokuskan kepada pembangunan dan pemantapan kualiti penganjuran debat masa kini. [6] Menjadi badan semak dan imbang kepada ketelusan MADUM [7] Mengenalpasti ketirisan dalam arena debat [8] Merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan atau sosial dikalangan bekas-bekas pendebat universiti-universiti Malaysia [9] Menubuhkan badan sistematik dikalangan bekas-bekas pendebat untuk menyokong usaha pembangunan dan pemantapan kualiti debat [10] Menyediakan landasan terpimpin kepada bekas-bekas pendebat untuk mencurahkan idea dan buah fikir kearah pembangunan dan pemantapan kualiti debat [11] Membuka ruang kepada bekas-bekas pendebat untuk memantapkan diri dari aspek penghakiman debat dan kejurulatihan debat [12] Berfungsi sebagai jambatan penghubung antara MADUM dan bekas-bekas pendebat [13] Membantu MADUM dari aspek kehakiman debat dengan menyediakan hakim-hakim terlatih dari kalangan bekas-bekas pendebat [14] Membina satu pengkalan data sistematik dan terpimpin tentang bekas-bekas pendebat [15] Membina arkib debat yang sistematik bagi menyimpan khazanah-khazanah dunia debat untuk kegunaan generasi mendatang [16] Menjadi jurubicara bagi MADUM kepada dunia luar sekaligus menjadi mata dan telinga MADUM [17] Berfungsi sebagai media bagi mewara-warakan aktiviti-aktiviti berkaitan debat [18] Membantu MADUM dalam mencari tajaan-tajaan untuk aktiviti-aktiviti debat [19] Menaiktarafkan dunia debat ke satu peringkat yang lebih tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat [20] Membangunkan minda anak bangsa sekaligus memugar modal insan yang dicita-citakan. FASAL 4: KEAHLIAN Keahlian Persatuan adalah terdiri dari berikut:- [1] AHLI BIASA Keahlian biasa adalah terbuka kepada semua pendebat yang pernah mewakili universiti / kolej universiti awam atau swasta di Malaysia ke mana-mana pertandingan debat antara universiti-universiti Malaysia yang diiktiraf oleh MADUM, yang berumur LAPAN BELAS (18) tahun ke atas dan warganegara Malaysia dan bekerja atau tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dan keahlian tersebut HENDAKLAH ATAS JEMPUTAN yang diluluskan oleh sekurang-kurangnya DUA PERTIGA (2/3) Jawatankuasa Eksekutif [2] AHLI SEUMUR HIDUP Keahlian Seumur Hidup adalah terbuka kepada mana-mana ahli biasa selepas LIMA (5) tahun berturut-turut menjadi ahli biasa dengan bayaran yuran Ahli Seumur Hidup DAN keahlian tersebut hendaklah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif. [3] AHLI BERSEKUTU Ahli Bersekutu boleh di anugerahkan kepada mana-mana orang perseorangan yang telah memberi khidmat utama kepada universiti dalam membangunkan aktiviti berkaitan debat di Universiti, masyarakat, dan/atau mereka yang telah dan difikirkan boleh memberi sumbangan besar kepada kemajuan Universiti, Negara atau Ummah, atau mereka yang telah memberi khidmat cemerlang kepada Persatuan. FASAL 5: PROSEDUR KEAHLIAN [1] Setiap individu yang menerima jemputan Keahlian Biasa hendaklah mengisi satu borang keahlian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari masa ke semasa, dan hendaklah membayar yuran keahlian dan hendaklah kedua-duanya hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Agung Persatuan. [2] Setiap ahli biasa yang berhasrat untuk menjadi ahli seumur hidup hendaklah melengkapkan borang yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari masa ke semasa dan hendaklah membayar yuran keahlian dan kedua-duanya hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Agung Persatuan. [3] Keahlian kehormat boleh di anugerahkan melalui persetujuan sebulat suara Jawatankuasa Eksekutif, tertakluk kepada undian majoriti dua pertiga (2/3) dalam mesyuarat agung. FASAL 6: YURAN [1] Yuran Tahunan bagi Ahli Biasa adalah Ringgit Malaysia Seratus (RM100-00) sahaja dan Ahli Seumur Hidup adalah Ringgit Malaysia Tiga Ratus (RM500-00) sahaja. [2] Semua yuran tahunan hendaklah dijelaskan pada atau sebelum 1 hb Mac setiap tahun kepada Bendahari Persatuan. [3] Kecuali yuran keahlian seumur hidup seperti yang dinyatakan di Fasal 6(1), tiada apa-apa yuran tambahan yang perlu dibayar oleh Ahli Seumur Hidup. [4] Ahli-ahli Kehormat tidak perlu membayar apa-apa yuran. FASAL 7: HAK KEAHLIAN [1] Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup hendaklah mempunyai:- (a) Hak untuk menyertai aktiviti-aktiviti Persatuan dan untuk menggunakan mana-mana kemudahan yang disediakan; (b) Hak untuk berucap dan mengundi disemua Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan; (c) Hak untuk bertanding, memegang jawatan, mengundi, mencadang atau menyokong calon-calon untuk pemilihan; (d) Lain-lain keistimewaan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari masa ke semasa. [2] Hak keahlian yang diperuntukkan di Fasal 7 (1)(b) dan (c) adalah tertakluk kepada pembayaran yuran keahlian seperti pada Fasal 6. FASAL 8: PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI [1] Mana-mana ahli boleh berhenti daripada menjadi ahli Persatuan dengan memberi notis bertulis dua minggu (2) kepada Setiausaha Agung Persatuan dan menjelaskan segala hutang yang tertunggak. [2] Mana-mana ahli yang gagal menjelaskan apa-apa bayaran yang ditetapkan oleh Persatuan bagi tempoh tiga (3) bulan selepas bayaran berkenaan sepatutnya dijelaskan akan diberi notis mengenainya oleh atau bagi pihak Setiausaha. Agung Persatuan. [3] Lanjutan dari pengeluaran notis yang dimaksudkan di Klausa (2) Fasal ini di atas, hak-hak dan keistimewaan ahli berkenaan akan digantung sehingga bayaran penuh telah disempurnakan. [4] Mana-mana ahli yang masih gagal menjelaskan yuran sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) bulan selepas notis yang di maksudkan di Klausa (3) Fasal ini di atas disampaikan boleh dibatalkan keahliannya oleh Jawatankuasa Eksekutif. [5] Mana-mana ahli boleh dibatalkan keahlian atas sebab-sebab yang difikirkan patut dan wajar oleh Jawatankuasa Eksekutif atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Eksekutif. Sebelum Jawatankuasa Eksekutif membatalkan keahlian atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pembatalan keahlian atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut. [6] Jawatankuasa Eksekutif akan menetapkan peraturan-peraturan bagi pembatalan atau penggantungan keahlian. [7] Walau apa pun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Fasal ini adalah terpakai kepada semua kategori keahlian. [8] Seseorang yang telah tamat menjadi ahli Persatuan adalah terlupus segala hak dan tuntutan ke atas harta, tabung-tabung dan apa jua yang bersangkutan dengan Persatuan. FASAL 9: MESYUARAT AGUNG Mesyuarat-mesyuarat agung Persatuan adalah terdiri dari berikut: [1] MESYUARAT AGUNG TAHUNAN [a] Mesyuarat Agung ini akan diadakan setiap tahun dalam tempoh empat (4) bulan selepas tahun kewangan berakhir, pada satu tarikh, masa dan tempat yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif. [b] Agenda mesyuarat agung akan termasuk perkara-perkara berikut:- (i) Menerima dan mengesahkan minit-minit mesyuarat agung yang lalu atau Mesyuarat-mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan; (ii) Menerima dan mengesahkan penyata kewangan tahun lalu yang telah di audit. (iii) Menerima dan mengesahkan laporan tahunan Setiausaha Agung Persatuan. (iv) Cadangan-cadangan pindaan kepada Perlembagaan, sekiranya ada; (v) Cadangan usul-usul; (vi) Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif tertakluk kepada Fasal 10 (1) dan dua (2) orang Juruaudit tiap-tiap 2 tahun sekali. [c] Notis Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diberi secara bertulis kepada ahli-ahli Persatuan sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi mesyuarat agung tersebut. [d] Setiausaha Agung Persatuan hendaklah menyampaikan kepada ahli-ahli perkara perkara berikut, sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat:- (i) Agenda; (ii) Minit-minit Mesyuarat Agung Tahunan terdahulu dan apa-apa Mesyuarat Agung Luarbiasa; (iii) Laporan tahunan; (iv) Penyata kewangan tahun lalu yang telah di audit; (v) Cadangan pindaan-pindaan Perlembagaan, jika ada; (vi) Cadangan usul-usul. [e] Mana-mana Ahli Biasa dan Seumur Hidup boleh mencadangkan usul atau pindaan kepada Perlembagaan ini untuk dibentangkan di Mesyuarat Agung Tahunan. Ini hendaklah dibuat secara bertulis kepada Setiausaha Agung sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh mesyuarat. [f] Korum yang mencukupi untuk pengendalian Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah Ahli Biasa dan Seumur Hidup atau dua kali bilangan jumlah ahli Jawatankuasa Eksekutif, mengikut mana yang kurang. [g] Jika korum tidak mencukupi selepas satu jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan tidak lebih daripada tiga puluh (30) hari yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif, dan jika korum tidak cukup selepas satu jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguh itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir untuk terus menjalankan mesyuarat tetapi mereka tidaklah berkuasa meminda, mengubah atau membuat apa-apa perubahan lain keatas Perlembagaan Persatuan. [h] Pengundian hendaklah dijalankan secara mengangkat tangan atau undian melalui cara-cara lain yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif dari masa ke semasa. [i] Undian tidak dibenarkan melalui proksi. [j] Melainkan sekiranya dinyatakan sebaliknya dalam Perlembagaan ini, sesuatu usul akan dikira sebagai diterima jika Ahli-ahli Biasa dan Seumur Hidup yang mengundi menyokongnya mendapat majoriti mudah. [k] Pengerusi bagi Mesyuarat hendaklah dipilih dari kalangan Ahli-ahli Biasa dan Seumur Hidup yang hadir. [l] Pengerusi akan mempunyai undian pemutus. (2) MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA [a] Jawatankuasa Eksekutif boleh pada bila-bila masa atau sebab-sebab tertentu memanggil suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa. [b] Jawatankuasa Eksekutif hendaklah memanggil suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa atas permintaan bertulis kepada Setiausaha Agung oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah Ahli Biasa dan Seumur Hidup. [c] Jawatankuasa Eksekutif hendaklah dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu hendaklah memberi notis mengenai tarikh, masa dan tempat mesyuarat kepada ahli-ahli. Notis tersebut hendaklah mengandungi nama-nama ahli yang meminta di adakan mesyuarat berkenaan dan perkara yang akan dibincangkan. [d] Notis Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah diberi secara bertulis kepada ahli-ahli Persatuan sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa tersebut. [e] Tiada apa-apa urusan lain boleh dibincangkan di mesyuarat berkenaan selain dari perkara yang telah ditentukan dalam permintaan mengadakan mesyuarat. [f] Korum yang mencukupi untuk pengendalian Mesyuarat Agung Luar Biasa hendaklah sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah Ahli Biasa dan Seumur Hidup atau dua kali bilangan jumlah ahli Jawatankuasa Eksekutif, mengikut mana yang kurang. [g] Jika korum tidak cukup selepas satu jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguh kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada tiga puluh (30) hari) yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif; dan jika korum tidak cukup selepas satu jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguh itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir untuk terus menjalankan mesyuarat tetapi mereka tidaklah berkuasa meminda, mengubah atau membuat apa-apa perubahan lain keatas Perlembagaan ini, atau membuat keputusan-keputusan yang melibatkan keseluruhan ahli. [h] Sekiranya berlaku pembatalan mengikut perenggan di atas, permintaan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa dengan tujuan yang sama tidak boleh dipertimbangkan sehingga telah genap masa tiga (3) bulan dari tarikh mesyuarat yang telah dibatalkan. FASAL 10: PENGURUSAN [1] Persatuan hendaklah diuruskan oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang akan dipilih setiap dua (2) tahun dari kalangan Ahli-ahli Biasa dan Seumur Hidup yang hadir di Mesyuarat Agung Tahunan, dan hendaklah terdiri dari:- (a) Seorang Presiden; (b) Seorang Timbalan Presiden; (c) Tiga (3) Orang Naib Presiden; (d) Seorang Setiausaha Agung; (e) Seorang Penolong Setiausaha Agung; (f) Seorang Bendahari; (g) Tujuh (7) orang Ahli Jawatankuasa Biasa; dan (h) Dua (2) orang juruaudit dalaman.
[2] Jawatankuasa Eksekutif hendaklah memegang jawatan bagi tempoh dua (2) tahun. Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas pemerintahan dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia. [3] Jawatankuasa Eksekutif hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh empat (4) bulan. Notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuasa Eksekutif sekurang-kurang tujuh (7) hari sebelum mesyuarat tersebut oleh Presiden atau Setiausaha Agung atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa Eksekutif secara bersesama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada bila-bila masa. [4] Korum bagi mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif adalah satu perdua (1/2) bilangan Ahli Jawatankuasa Eksekutif. [5] Jawatankuasa Eksekutif boleh merangka peraturan-peraturan, termasuk arahan-arahan tetap, untuk mengurus semua perkara yang tidak terdapat dalam Perlembagaan ini, dan melaksanakan semua perkara yang didapati wajar bagi mencapai tujuan dan objektif-objektif Persatuan, dengan syarat, peraturan-peraturan berkenaan tidak bertentangan dengan Perlembagaan ini. Jawatankuasa Eksekutif boleh mengadakan tabung-tabung kutipan, menerima sumbangan-sumbangan yang diperlukan untuk menggalakkan matlamat dan objektif-objektif Persatuan. [6] Jawatankuasa Eksekutif boleh, mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil jika didapati perlu. [7] Jawatankuasa Eksekutif boleh, jika pada bila-bila masa, wujud satu kekosongan dalam Jawatankuasa Eksekutif, melantik mana-mana ahli untuk mengisinya. [8] Tertakluk kepada notis yang diperlukan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang dimaksudkan di bawah Fasal 9 (1)(c) atau Mesyuarat Agung Luar Biasa di bawah Fasal 9 (2)(d), satu undi tidak percaya boleh diputuskan terhadap Jawatankuasa Eksekutif atau mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif sekiranya dipersetujui oleh undian majoriti 2/3 ahli dalam mesyuarat agung tersebut dan Jawatankuasa Eksekutif atau mana-mana ahli Jawatankuasa Eksekutif tersebut hendaklah meletakkan jawatan serta-merta dan mesyuarat agung tersebut hendaklah memilih Jawatankuasa Eksekutif atau Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baru untuk mengganti kekosongan jawatan tersebut. [9] Jika Jawatankuasa Eksekutif meletak jawatan secara beramai-ramai (en-bloc), perletakan jawatan ini hanya boleh diterima di mesyuarat agung yang selanjutnya akan melantik Jawatankuasa Eksekutif yang baru. [10] Jawatankuasa Eksekutif yang dipilih mengikut Klausa (8) dan (9) hendaklah memegang jawatan bagi baki tempoh Jawatankuasa yang ia ganti. [11] Mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang berhasrat untuk meletakkan jawatan hendaklah menghantar notis perletakkan jawatan kepada Presiden atau Setiausaha Agung dan perletakkan jawatan tersebut hendaklah berkuatkuasa setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif. FASAL 11: TANGGUNGJAWAB JAWATANKUASA [1] Presiden akan:- (a) mempengerusi semua mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif; (b) berhak memanggil mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, dan (c) berhak melaksana apa-apa tindakan untuk memenuhi tujuan dan objektif-objektif Persatuan. [2] Timbalan Presiden hendaklah:- (a) membantu Presiden dalam pelaksanaan tugas-tugasnya dan portfolio-portfolio yang ditentukan bagi mengelola dan mengawasi hal ehwal dan hubungan dikalangan ahli (b) mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif semasa ketiadaan Presiden. [2] Naib-Naib Presiden hendaklah:- (a) membantu Presiden dan Timbalan Presiden dalam pelaksanaan tugas-tugasnya dan portfolio-portfolio yang ditentukan bagi mengelola dan mengawasi hal ehwal dan hubungan di kalangan ahli-ahli; (b) mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif semasa ketiadaan Presiden dan Timbalan Presiden. [3] Setiausaha Agong hendaklah:- (a) bertanggungjawab memanggil semua mesyuarat dan hendaklah menyimpan minit-minitnya; (b) mengendali dan menyelenggara rekod-rekod lengkap surat menyurat Persatuan; (c) menyediakan laporan tahunan Persatuan; (d) menyelia tugas semua pekerja dan pihak-pihak lain yang melaksanakan apa-apa kerja untuk Persatuan; (e) menyelenggara satu daftar yang kemaskini mengenai semua ahli-ahli Persatuan. [4] Penolong Setiausaha Agong hendaklah:- (a) membantu Setiausaha dalam pelaksanaan tugas-tugasnya dan hendaklah memangku jawatan Setiausaha Agong semasa ketiadaannya; (b) mengganti sebagai Setiausaha Agong sekiranya jawatan Setiausaha Agong menjadi kosong atas sebab-sebab yang selain dari tamat tempoh jawatan. [5] Bendahari hendaklah:- (a) bertanggungjawab ke atas hal ehwal kewangan Persatuan; (b) menerima semua wang yang dibayar kepada Persatuan dan bertanggungjawab bagi mengemaskini semua pembayaran serta mengeluarkan resit-resit berkenaan; (c) menyimpan akaun yang betul bagi Persatuan; (d) menyimpan semua bayaran yang diterima olehnya dalam satu akaun bank atas nama Persatuan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif, kecuali mana-mana jumlah yang diputuskan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif untuk dipegang olehnya sebagai simpanan tunai. (e) menggunakan peruntukan kewangan atas arahan Jawatankuasa Eksekutif; menyediakan laporan-laporan kewangan secara berkala sepertimana yang ditetapkan Jawatankuasa Eksekutif; (f) menyediakan Penyata Akaun untuk tahun semasa, menentukan penyata di auditkan dan membentangkannya kepada Jawatankuasa Eksekutif dan Mesyuarat Agung Tahunan; dan (g) menyimpan senarai kemaskini mengenai status yuran ahli-ahli. [7] Ahli-Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah menjalankan tugas-tugas yang diarahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FASAL 12: KEWANGAN [1] Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini, wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji, dan upah memeriksa kira-kira, tetapi walau bagaimanapun tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman di Mahkamah. [2] Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 1,000 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang disetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan. [3] Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Presiden, Setiauasaha Agong dan Bendahari. Kerana ketiadaan Presiden, Setiausaha Agong atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangi cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan. [4] Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000 bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Eksekutif, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 5,000 bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Presiden bersama Setiausaha Agong dan Bendahari. [5] Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan berserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Juruadudit yang dilantik mengikut Fasal 13 dengan seberapa segeranya setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan bagi Persatuan. [6] Tahun Kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir 31hb Disember tiap-tiap tahun.
FASAL 13: JURUAUDIT [1] Dua orang Ahli Biasa yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik 2 tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun (satu penggal) dan boleh dilantik semula selama satu penggal berikutnya. [2] Seseorang Juruaudit tidak boleh dilantik semula untuk penggal ketiga secara berturut-turut atau enam (6) tahun. [3] Juruaudit yang dilantik adalah dikehendaki memeriksa kira-kira tahunan Persatuan dan kemukakan laporan dan pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka membuat laporan kepada Jawalankuasa Eksekutif FASAL 14: PENTADBIR HARTA [1] Semua harta hendaklah didaftarkan atas nama Persatuan. Tiga orang pegawai pentadbir harta hendaklah dilantik di kalangan pemegang jawatan semasa iaitu Presiden, Setiausaha Agong dan Bendahari bila diperlukan mengikut Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan, 1966. Mereka akan berkhidmat selama tempoh pegangan jawatannya dalam Jawatankuasa dan terlucut dengan sendirinya apabila mereka tiada lagi memegang jawatan tersebut. [2] Pentadbir tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan milik harta kepunyaan persatuan dengan tidak atau persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat Agung Persatuan. FASAL 15: TAFSIRAN UNDANG-UNDANG [1] Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa Eksekutif boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan Jawatankuasa Eksekutif, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini. [2] Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung. FASAL 16: PINDAAN PERLEMBAGAAN [1] Pindaan ke atas Perlembagaan ini hanya boleh dibuat dengan keputusan 2/3 ahli dalam Mesyuarat Agung. [2] Keputusan Pindaan terhadap cadangan pindaan hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. FASAL 17: PENASIHAT/PENAUNG Jawatankuasa Eksekutif boleh, jika difikirkan perlu, mencadangkan kepada mesyuarat agung untuk melantik orang-orang yang difikirkan layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis dan cadangan tersebut hendaklah diluluskan oleh sekurang-kurangnya 2/3 ahli dalam mesyuarat agung. FASAL 18: LARANGAN [1] Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peli Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker's game, video game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib; [2] Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang didefinisikan dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959 dan apa-apa aktiviti yang dilarang oleh Islam; [3] Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa Eksekutif atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan; [4] Faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya. [5] Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti tidak boleh menjadi ahli kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Naib Canselor atau Rektor universiti berkenaan. FASAL 19: PEMBUBARAN [1] Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada 2/3 daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya. [2] Sekiranya Persatuan dibubarkan, maka sekiranya terdapat segala hutang dan tanggungan yang sah di sisi undang-undang harta Persatuan, maka ianya tidak boleh dibayar atau dibahagikan harta tersebut di kalangan ahli-ahli melainkan dipindahkan atau diberi kepada pertubuhan, persatuan atau industri yang lain yang mempunyai tujuan dan objektif yang sama seperti Persatuan ini. Persatuan yang berkenaan akan ditetapkan oleh ahli Persatuan di mesyuarat agung atau sebelum pembubarannya. [3] Keputusan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran itu. Deraf Perlembagaan Persatuan ini adalah disediakan, dipersetujui dan disahkan oleh:
............................................... ........................................ Setiausaha, Pengerusi, Jawatankuasa Penaja, Jawatankuasa Penaja, Persatuan Alumni Persatuan Alumni Debat Universiti Malaysia Debat Universiti Malaysia
|
|||||
|
|||||