akademidebat.com tinta emas

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

SANG KELEMBAI

HIKAYAT YANG TERPILU - Sang Kelembai Dihidupkan Semula!

Sudah segenap pelusuk nusantara patik mengembara, mencari sesuatu yang belum berjumpa. Nun di utara patik menyusur denai mengakar suria, membelah belantara meniti muara, namun tidak pernah bersua. Nun di timur patik berlabuh menangguk keruh di pengkalan libur, mengutip saki sisa yang ditabur sekelian penduduk yang berhati luhur. Nun di selatan patik menapak, menderap rentak, mengimbau pamitan-pamitan lapuk yang sudah lama terkoyak, dimamah gigitan sang pemain pencak.

Nun di barat pula patik melarat, mencerap kudrat yang kian liat, mencuci noda yang kian sarat, mengisi kantung yang kian sendat. Namun tidak jua patik ketemu niat dihajat. Hajat dihati mencari pemikat, buat menyerat luka tersejat. Apakan daya, rusuk tidak setanding susuk, akal tidak selari jengkal, kudrat tidak segagah firasat, mimpi terus mencari janji, melakar misteri yang tak pasti. Patik akhirnya usang ditelan masa.

Namun, di daerah tengah yang damai ini, patik dihidupkan semula untuk terus mencari lagi. Cuba menyisir semula rerambut yang kucir, melurus semula kaki-kaki yang terjengkel, mengenggam semula buku lima yang terkehel. Dua kuntuman telapak sentiasa patik buka menghadap langit tinggi, mengucap kalimah Maha Suci, memohon hujanan rezeki, hidayah dan kekuatan diri. Mudah-mudahan dengan berkat ketulusan nurani ini, patik yang hodoh lagi hina, diberi obor penerang gelita, buat membakar dusta dan nista, makhluk-makhluk tuhan bernama MUNAFIK durjana.

Ini sebenarnya bukan kisah penglipur lara tua yang meraban membabi buta. Bukan juga lembaran kisah-kisah materi dalam kitab-kitab tua di mana-mana akademia. Ini adalah liku perjalanan patik yang tidak sempurna sifatnya. Buat tatapan seisi maya, yang celik benar tentang hidup di dunia, tetapi rabun sentiasa tentang kebangkitan di sana.

Patik mulakan kisah patik dengan menceritakan asal usul patik yang bergelar SANG KELEMBAI. Patik lahir tidak sempurna, cacat anggota, pendek akal katanya, tidak pandai bertutur mesra, hodoh pula rupa parasnya. Namun, Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Adil. Diberikan patik sepasang telinga besar yang tidak bercuping, ibarat kuali tertiarap di dinding. Namun dengan telinga ini patik merisik, bunyi-bunyi bingit di pojok-pojok belantara yang sunyi dan sempit.

Dianugerahkan patik mulut tempayan, memuntahkan kata tanpa batasan, memaki hamun berkoyan-koyan, sukar berlapik tiada tapisan. Manusia lain sering mengejek patik si mulut longkang, kutuk-mengutuk canang-mencanang, tidak mengira orang sebarang, kaya terbilang juga diserang. Itulah resam seulas mulut patik yang tidak berhati perut.

Tapi tuhan itu Maha Pencipta dan Maha Pengampun. Dengan mulut tempayan ini juga patik membongkar rahsia, sifat-sifat iblis durjana yang setia membelenggu leher-leher pendusta, nanah dan bisa manusia-manusia yang putih wajahnya tapi hitam hatinya. Patik tidak mengenal siapa, kerana manusia itu sama melainkan iman dan takwanya.

Dibekalkan juga oleh Tuhan kepada patik sepasang mata bulat merah menyala. Dilihat manusia bertempiaran larinya. Kononnya patik ifrit laksana. Namun tuhan itu Maha Sempurna dan Maha Bijaksana. Dengan mata merah ini juga patik merenung di sebalik gelita belantara.

Diperlihatkan kepada patik tiga golongan utama. Golongan pertama ialah yang sentiasa duduk mencangkung menguis-nguis ulat di celah batuan hitam. Ulat yang telah banyak dikuis hanya disimpan didalam kocek hingga melimpah keluar. Mereka menguis dan terus menguis. Bertelingkah dan berbunuhan sesama sendiri hanya kerana ulat-ulat busuk yang ingin disimpan didalam kocek. Patik hanya mampu menggeleng.

Golongan kedua pula berbaring telanjang tanpa selembar kain membaluti tubuh. Dipertontonkan tubuh yang hodoh dan hitam dikhalayak ramai tetapi tiada siapa yang peduli. Sesekali kelihatan burung-burung merpati putih hinggap di badan mereka mematuk-matuk kehormatan mereka. Mereka gembira tidak terkira, kononnya mendapat nikmat beberapa ketika.

Golongan ketiga lebih terhina. Melompat-lompat seperti kera sambil berkata akulah juara, akulah panglima. Tidak sedar sambil terlompat-lompat tersebut, najis-najis mereka mencurah-curah keluar bertebaran ke sekitar kawasan. Perut mereka yang membusung dengan nanah-nanah hasad dan dengki kembang kempis memuntahkan isinya yang ranum dan membusuk.

Patik cukup kenal golongan ini. Mereka ialah pemimpin yang hidup dengan menelan najis korupsi, menjilat lender-lendir busuk yang keluar dari lohong jijik, meratah daging-daging manusia yang kesempitan. Golongan ini semakin berleluasa dan melata di bumi Tuhan kini tanpa sekatan dan halangan.

Dari atas pohon sena yang tersergam malarnya ini, patik mencongak-congak kesudahan dan khatimah mereka. Apakah nilai mereka di sisi yang Maha Esa? Apakah kebahagian dunia yang mereka kecapi bakal menyelamatkan mereka dari bahang api hitam dalam rumah kekal bernama neraka? Patik bertekad mulai saat ini untuk terus membongkar, menyingkap dan menyelongkar, kisah-kisah 3 golongan ini untuk pedoman manusia yang mahu belajar.

Sekiranya perlu, maka anugerah Tuhan yang paling hebat kepada patik akan patik gunakan. Akan patik sumpah golongan yang melampaui batasan ini menjadi batu-batuan keras yang tidak lagi berperasaan. Mudah-mudahan mereka tidak lagi berbunuhan demi ulat yang tidak boleh dimakan, tidak lagi bertelanjang mengharapkan secebis kenikmatan yang tidak panjang, dan tidak lagi terkinja-kinja mendabik dada sehingga terlupa keaiban yang kian terbongkar.

Wahai sekelian isi maya yang bijaksana. Patik percaya di sepanjang perjalanan kalian juga, kalian pernah ketemu ketiga-tiga golongan tadi. ATAU, ada antara kalian juga yang tergolong dikalangan mereka. Inilah kembara yang bakal patik, SANG KELEMBAI paparkan dalam hikayat terpilu ini. Andai ada manfaat dan teladan, jadikan panduan. Andai tersesat tujuan dan tersalah percaturan, jadikan ia sempadan. Sesungguhnya mata pena lebih tajam dan berbisa dari mata pedang…

 

SANG KELEMBAI dihidupkan semula…

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian