akademidebat.com tinta emas

laman utama | profil | produk | buletin | galeri | tinta emas | debat maya | alumni debat uiam

 

SANG KELEMBAI

KISAH WIRA MUDA DAN PANGLIMA TUA

Ahhh! Berat benar mata memandang, merenung horizon langit yang kian kelam, meratap mentari yang tenggelam, ditelan paksi lautan dan cakerawala yang amat dalam. Kawanan unggas-unggas liar yang berterbangan, menerjah ruang angkasa yang tiada kesudahan, seolah-olah memanggil-manggil kembali masa yang terus berlalu tanpa pesanan.

Patik masih bertenggek di atas pohon sena yang tersergam ini memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang menanti, apakah manusia MUNAFIK durjana akan terus bermaharajalela tanpa disekat dan dinafi?

Semalam, dari pojok kegelapan belantara, patik mendengar satu cerita yang amat membungkam hati, membunuh sanubari. Wujudnya satu golongan manusia yang melonjak-lonjak kegembiraan tanpa sebab yang pasti, ibarat kera dan ungka mendapat rezeki, terberak-berak menghambur najis dan nanah sendiri.

Kononnya, golongan ini baru memenangi satu pertandingan kalah mati yang amat penting untuk kemandirian generasi korupsi yang telah mereka bina saban hari.

Bermula dengan kisah beberapa golongan bekas penghuni sebuah kampung orang asli di daerah bernama Gombak, yang berazam dan bertekad untuk menubuhkan sebuah kumpulan bekas-bekas penghuni sebagai landasan menyambung kesinambungan beban dan pundak.

Bertungkus lumus mereka menggadai harta memerah minda untuk memastikan kumpulan tersebut berdaftar dengan pendaftar pertubuhan kumpulan-kumpulan purba. Akhirnya usaha murni mereka berjaya membuahkan hasilnya, maka bermulalah pengembaraan kumpulan tersebut yang penuh pancaroba.

Kehebatan dan keikhlasan kumpulan bekas penghuni itu rupanya tidak lama, dari muda menjadi tua, dari cerah menjadi gelita, dari segar menjadi tidak bermaya. Tiba-tiba, dalam kekalutan kumpulan tersebut mencari semula landasan perjuangan untuk membela nasib anak-anak orang asli di kampung mereka, muncul seorang pemuda, yang mengaku kononnya penyelamat dunia, yang berazam ingin memberi nafas baru kepada kumpulan yang sudah tidak bersua daya.

Entah dari mana, wira muda yang gagal menyerlah di kampung-kampung lain datang menyua muka, menghulur belas yang tidak ikhlas, untuk memugar semangat kumpulan bekas penghuni yang kian terbias.

Maka terhegeh-hegehlah seorang panglima tua yang sentiasa melukut di celah-celah cawat busuk ketuanya, menagih jawatan dan kuasa, menjilat-jilat tapak kaki pemuda yang digelar wira muda tersebut untuk memastikan dirinya terus kekal dalam kabinet kumpulan bekas penghuni tersebut.

Seperti diduga, jilatannya yang melekit-lekit itu jelas memuaskan nafsu si pemuda tersebut, lantas terbentuklah barisan kepimpinan baru kumpulan bekas penghuni yang penuh aksi jilat-menjilat, berak-memberak, siku-menyiku dan tipu menipu untuk memenuhi gerobok nafsu masing-masing yang tidak berpenghujung.

Si pemuda wira muda negara ini bukan orang mulia sebenarnya. Datangnya dikutip dari tempat pembuangan sampah, bercita-cita pula untuk memerintah. Kerjanya dari dahulu hingga sekarang adalah bertelagah, pangkah-memangkah, ludah-meludah tidak kira sama ada menang atau kalah.

Berbekalkan secebis ilmu bahasa di dada, dia berlegar-legar mencari pengaruh dikalangan budak-budak sekolah rendah. Kononnya untuk menjadi batu loncatan menjadi pemerintah, semua daerah-daerah orang asli yang menjanjikan pulangan dan hasil mahsul yang melimpah ruah.

Si panglima tua juga tidak kurang nakalnya. Disebalik gerobok nafsunya yang melebihi manusia biasa, dia juga ada amalan rutinnya, iaitu mengambil bahagian dalam setiap urusniaga haram dan pecah amanah sama ada menggunakan nama, kedudukan atau kehormatannya.

Bukan sedikit cerita korupsi yang patik dengar dari mulut peniaga-peniaga kecil-kecilan yang berniaga di tepi-tepi belantara, tetapi kekayaan yang dikautnya sudah berkoyan-koyan banyaknya. Namun, bagi si panglima tua, hartanya masih belum mencukupi untuk membeli rumah sendiri di puncak gunung ledang, ataupun untuk menyara kawanan wanita yang setia terkinja-kinja dikeliling pinggang.

Tambahan pula panglima tua sudah ada zuriat yang panjang, yang perlu disuap dan dipastikan tidak telanjang. Mungkin sebab itu juga, panglima tua perlu terus menjadi hero dalam kumpulan bekas penghuni, supaya rezekinya takkan kurang, dan nafsunya tidak terhalang.

Kini, kumpulan bekas penghuni hanya tinggal nama dan gelanggang. Penipuan-penipuan untuk menutup mata semua bekas-bekas penghuni terus dilakukan secara terang-terang. Biarpun hujanan ketidak puasan hati dihamburkan ke muka mereka, mereka tetap memekak berpura-pura bengang.

Menjawab pertanyaan dengan perkara yang tidak masuk akal berulang-ulang. Mereka berkata, “kami bekerja secara sukarela dan bukan untuk wang”. Sambil di dalam hati menghitung-hitung pulangan yang akan mendatang.

Hari ini, wira muda dan panglima tua pulang dalam kegembiraan. Walaupun najis-najis dan nanah mereka bertebaran di pelusuk jalan, mereka bangga kerana masih diangkat dan dijulang oleh bekas penghuni yang telah disumbat dan diberi makan.

Tolak ketepi maruah dan pegangan, yang penting ongkos dan ringgit Malaysia yang amat mengenyangkan. Maka, kumpulan bekas penghuni akan terus dilanda kebuntuan dan kesepian, mencari batasan antara iman dan kesesatan.

Hari ini juga, patik bertekad, bahawa golongan seumpama ini tidak akan dibiar, bertebar tanpa diajar. Akan patik hebahkan kisah-kisah liar mereka yang bongkak dan tegar dengan pegangan dunia dan nafsu yang menjalar. Hati patik berkobar-kobar, biar luka terasa memijar, biar tubuh tidak bebas dibelenggu sangkar, biar akal semakin dihimpit dan dicabar, biar sekelumit jiwa kusut dan bertempiar, akan teguh pendirian diajar, akan utuh perjuangan dihampar, akan bulat niat diikrar, bahawa MUNAFIK durjana tidak kira wira muda atau panglima tua, akan lemas tanpa pelantar, tanpa pelenggar, dan tanpa pelepar.

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Buletin | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM | Hakcipta terpelihara © 2006 | Penafian