akademidebat.com Portal Debat Anda

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

TIPS PENCARIAN BAHAN DAN SUMBER SEBAGAI PERSEDIAAN UNTUK PERTANDINGAN DEBAT ALAM SEKITAR 2006


Debat Alam Sekitar antara Institut Pengajian Tinggi Malaysia merupakan pertandingan debat yang tertua di Malaysia. Penganjur utama pertandingan ialah Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Kementerian Pengajian Tinggi.


Sejak penganjuran Debat Alam Sekitar yang bermula pada tahun 1991, pertandingan ini dikuasai oleh Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); masing-masing menggondol empat kejuaraan (UM-1994,1998,2002,2004; UIAM-1992,2000,2003,2005) diikuti Universiti Sains Malaysia (USM) yang memenangi gelaran johan sebanyak tiga kali (1995,1996,1997).


Salah satu daripada matlamat penganjuran Debat Alam Sekitar ialah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai isu-isu alam sekitar di kalangan mahasiswa agar lebih peka kepada masalah alam sekitar.

 

Maka, sebagai langkah persediaan untuk menghadapi Debat Alam Sekitar, para pendebat semestinya mempunyai pengetahuan yang meluas mengenai isu-isu alam sekitar, terutamanya yang bakal diperdebatkan semasa pertandingan nanti.


akademidebat.com ingin berkongsi beberapa tips yang boleh digunakan bukan sahaja untuk memudahkan pencarian bahan atau sumber sebagai persediaan untuk Debat Alam Sekitar, malah akan membolehkan para pendebat menjalankan pencarian bahan yang lebih tepat dan relevan untuk penghujahan kelak.


1. KLASIFIKASI USUL
Lazimnya setiap IPT yang menyertai Debat Alam Sekitar akan memperoleh senarai usul beberapa hari sebelum pertandingan berlangsung (bergantung kepada budi bicara jawatankuasa penganjur). Setelah usul diterima, klasifikasikan tajuk kepada tajuk yang umum dan khusus.


Usul khusus biasanya berkisar mengenai isu-isu alam sekitar yang spesifik. Biasanya usul sebegini mengandungi kata nama khas, nama badan-badan tertentu, atau istilah khas yang berkaitan dengan isu-isu alam sekitar. Contoh: “Insinerator alternatif terbaik”, “Agenda 21 pemangkin alam sekitar selamat”.


Usul am atau umum pula menyentuh mengenai isu-isu alam sekitar yang umum dan luas. Lazimnya frasa seperti “masalah alam sekitar” dan “isu alam sekitar” menjadi titik pertikaian dalam usul sebegini. Contoh: “Pencemaran alam sekitar salah masyarakat”, “Isu alam sekitar: Sembang kedai kopi”.


Maka, sekiranya pendebat telah menerima senarai usul, berikut merupakan contoh klasifikasi usul:

  • Makanan Terubahsuai Genetik Suatu Ancaman – khusus

  • Urbanisasi Mengancam Kepelbagaian Biologi – khusus

  • Perlindungan Alam Sekitar: Tapak Warisan Dunia Jawapannya – khusus

  • NGO Alam Sekitar : Sekadar Melepas Batok Di Tangga – khusus

  • Cinta Alam Sekitar: Bukan Cinta Biasa – am

  • Kita Tidak Sepakat Menangani Isu Alam Sekitar – am

  • Isu Alam Sekitar: Sudah Terhantuk Baru Terngadah – am

  • Pencemaran Alam Sekitar Sudah Melarat – am

 

2. SKOP USUL: USUL AM
Selepas mengklasifikasikan usul, kenal pasti skop usul yang akan diperdebatkan. Skop usul biasanya boleh diketahui dengan mendebatkan usul semasa sesi latihan. Melalui sesi latihan, pendebat akan mengetahui skop usul bagi kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang).

 

Skop usul juga boleh diketahui melalui soalan-soalan asas mengenai usul. Berikut merupakan contoh pengenalpastian skop usul:

  • Isu alam sekitar: apakah isu-isu alam sekitar terkini atau yang sentiasa dibincangkan di media massa? Tumpukan pada komponen-komponen alam sekitar yang utama iaitu air, udara, dan tanah. Isu-isu biasanya merujuk kepada masalah pencemaran alam sekitar, teknologi mesra alam, pembangunan mapan, dan sebagainya.

  • Masalah alam sekitar: Juga dinyatakan sebagai pencemaran alam sekitar. Kenal pasti jenis-jenis pencemaran dan kes-kes pencemaran berskala besar yang berlaku di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Klasifikasikan kes-kes tersebut berdasarkan jenis-jenis pencemaran. Pencemaran komponen-komponen utama alam sekitar perlu diberi perhatian; termasuklah kaitan pencemaran dengan nuklear dan toksik.

 

3. SKOP USUL: USUL KHUSUS
Usul khusus biasanya dikaitkan dengan maklumat yang spesifik mengenai topik yang dibincangkan di dalam usul tersebut. Pendebat perlu mengenal pasti topik tersebut dan mencari maklumat yang berkaitan dengan topik tersebut.

 
Pastikan maklumat yang dicari mencakupi fakta yang boleh membantu kes kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang). Antara cara yang boleh digunakan ialah mencari fakta yang menyenararaikan elemen positif-negatif topik tersebut; misalnya kebaikan-keburukan, kelebihan-kekurangan, sokongan-tentangan, dan sebagainya.


Berikan perhatian kepada istilah-istilah khas yang digunakan di dalam topik tersebut. Ketahui maksudnya, terutamanya sekiranya topik itu sendiri memerlukan definisi yang lengkap. Contohnya; sekiranya usul debat berkisar mengenai insinerator, maka pendebat perlu tahu definsi lengkap bagi insinerator dan istilah-istilah yang berkaitan seperti zon penampan, gas dioksin, dan sebagainya.
 
 

4. SUMBER
Setelah mengenalpasti bahan yang perlu dicari, peringkat yang seterusnya ialah mendapatkan sumber yang tepat, lengkap, dan mudah difahami sebagai sumber carian.

 

Adalah menjadi kelebihan kepada para pendebat yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik kerana lebih 90% daripada laman web mengenai alam sekitar menggunakan bahasa Inggeris. Namun begitu, terdapat juga beberapa rujukan bahasa Melayu yang boleh membantu kajian.


Elakkan daripada terlalu bergantung kepada enjin carian seperti Google dan Yahoo!, melainkan pendebat mempunyai kemahiran yang baik dalam menggunakan enjin carian. (Klik di sini untuk tips carian yang berkesan menggunakan enjin carian Google).


Berikut merupakan beberapa laman web yang boleh dilayari bagi kajian (terdapat hampir 2 bilion laman web yang mempunyai kaitan dengan alam sekitar):


www.utusan.com.my
Laman web Utusan Malaysia. Menyiarkan isu-isu terkini. Boleh didapati secara percuma pada bahagian “Search Archive”.
 
www.bharian.com.my
Laman web Berita Harian. Artikel daripada arkib boleh didapati dengan langganan berbayar.
 
www.wikipedia.org
Wikipedia, ensiklopedia percuma. Antara laman web paling lengkap dan boleh dipercayai.
 
www.unep.org
Laman web rasmi Program Alam Sekitar PBB.
 
www.epa.gov
Laman web rasmi Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat.
 
www.eea.eu.int
Laman web rasmi Agensi Alam Sekitar Eropah.
 
www.enn.com
Environmental News Network, menyiarkan berita-berita terkini dari seluruh dunia mengenai isu-isu alam sekitar.
 
www.conservation.org
Laman web mengenai pemuliharaan flora dan fauna.

 

Selamat mencuba dan selamat berjaya! - akademidebat.com
 
 

 

 

 

 

 

Laman utama | Profil | Produk | Seputar Debat | Galeri | Tinta Emas | Debat Maya | Alumni Debat UIAM

PENAFIAN: akademidebat.com tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh dari laman ini | Paparan terbaik Internet Explorer 5.0 ke atas | Resolusi 1024 x 768 piksel |

Hakcipta terpelihara © 2006